Posted by: mazrilhisham | February 6, 2009

Buli tentera, Menteri Pertahanan, Abdullah perlu bertanggungjawab!

Pada 1 Februari lalu di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, angkatan tentera darat, laut dan udara telah mengadakan pertunjukan berhubung pelbagai jenis alat kelengkapan mereka. Saya hadir-hadir di situ, melihat apa-apa yang patut dilihat. Antara yang menarik perhatian saya ialah orang-ramai berpusu-pusu beratur di suatu tempat. Maka, naluri saya makin kuat untuk melihat apakah sebabnya orang-ramai ikut berbaris di situ.   
   

Rupa-rupanya, mereka beratur untuk mengambil makanan tentera. Saya sempat melihat bagaimana sedap dan lazatnya makanan itu walaupun ia dimasak dalam alat masakan tentera yang tidaklah begitu cantik. Nasi dimasukkan dalam bekas polisterin kecil. Dan dengan itu, mereka terpaksa mengambil nasi dan lauknya dalam jumlah yang sedikit sahaja. Saya terfikir sendirian. Agaknya, begini cara makan dalam hutan atau memang hal ini termasuk dalam salah satu latihan.

Ada suara bergema dalam diri. “Ingat bagaimana Allah menguji tentera Raja Talut untuk meneguk minuman di sebuah sungai. Dan mereka tak dibenarkan mengambil lebihan air itu sebagai bekalan mereka dalam peperangan.”

Kemudian ketika Talut keluar bersama-sama tenteranya, dia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa antara kamu yang meminum airnya makan bukanlah dia daripada pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang mencedok satu cedokan dengan tangannya.”

(Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya.”

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah: 249)

Saya teringat pada zaman kecil di Kroh, Perak. Tempat itu berdekatan dengan sempadan Perak – Thailand. Kata orang, nama Kroh ditukar kepada Pengkalan Hulu pada zaman Sultan Idris. Kroh memang antara tempat persembunyian komunis. Orang tua saya, pegawai Imigresen di Bukit Berapit, iaitu suatu pos ketika kita mahu masuk ke Betong, Thailand. Kami kerap bergaul dengan masyarakat tentera di kolam air panas di situ. Sehingga 1984, kami sekeluarga berhijrah dari Kroh.

Dan, yang masih kekal dalam ingatan saya ialah bagaimana seorang tentera menuang air teh ke dalam sejenis daun. Saya tak tahu daun apa. Tetapi, ia sejenis daun yang cukup besar, kuat dan utuh sebagai bekas minuman. Kreatif betul askar ini. Mereka memang terlatih dan tahu bermacam-macam kegunaan sumber-sumber alam untuk meneruskan kehidupan dalam peperangan.

“Masa itu, masih boleh nampak bekas tembakan peluru komunis di pejabat,” kata ayah. Kami amat hormat pada tentera. Ketika trak-trak tentera berlalu dari pekan Kroh menuju ke Bukit Berapit, saya dan rakan-rakan tadika akan berteriak dan melambai-lambai. Dan para tentera akan terus melambai-lambai kepada kami.

Askar mudah kelihatan di mana-mana di pekan Kroh. Dari pekan Kroh menuju ke Baling, akan ada suatu sekatan jalan oleh dua tiga orang tentera yang memeriksa kereta yang masuk keluar dari pekan Kroh ke pekan Baling. Jalan yang berliku-liku antara Kroh ke Baling pada ketika itu dicantikkan dengan panorama indah, bijih timah yang diangkut satu persatu, merentangi jalan yang panjang itu.

Latihan ketenteraan
Pada 1996, saya masuk ke Kolej Mara Kulim (KMK), Jalan Junjong. Pada suatu ketika, ramai pelajar Matrikulasi diarahkan masuk acara latihan Biro Tata Negara (BTN) pada ketika itu. Memang ada satu kem latihan di situ. Di KMK itu kami dihadamkan dengan novel Rice Without Rain yang memperihalkan betapa kejamnya kepimpinan tentera Thailand yang bertindak membunuh orang awam termasuk mahasiswa Thammasart University di Bangkok.

Ned, watak hero di dalam novel itu akhirnya terpaksa menganggotai gerakan militan komunis untuk menumbangkan kerajaan kerana kepimpinan tentera tidak boleh diajak berhujah dan berdebat lagi. Kerajaan tentera memiliki kuasa api dan besi, al-Hadid wa an-Naar, iaitu simbol kepada senjata api dan penjara besi.

Maka, bermula saat-saat sengsara dalam beberapa hari hidup di dalam hutan ketika di bawah seliaan BTN. Letihnya bukan kepalang. Tetapi, latihan ketenteraan ini lebih kurang sama. Mereka menguji ketahanan mental agaknya, bukannya fizikal sangat. Antara sebab kenapa saya berkata begitu ialah kami diberikan makan yang sedikit dan minuman yang terhad.

Selepas tamatnya ‘jungle-tracking’, seteguk air teh dan beberapa keping biskut diberikan. Memang tak puas hati. Kita letih, lapar dan dahaga, tetapi hanya itu yang diberikan oleh BTN dan pasukan tentera itu. Tiada yang kena buli dan tiada pula antara kami yang dipukul anggota tubuh badan.

Semua ini, mengingatkan saya semula kepada latihan dan ujian Tuhan ke atas tentera Talut yang sedang menyeberangi sungai seperti yang terakam di dalam al-Quran di atas. Tuhan, melalui arahan Talut telah mengarahkan para askarnya meminum seteguk air daripada tangan mereka dan jangan lebih daripada itu. Seperti biasa, ada yang ingkar juga. Bakinya yang beriman, minum ala kadar dan mereka inilah yang kuat jiwanya dan terus bersama Talut untuk merempuh kemaraan tentera Jalut.

Dan, amalan memakan atau minum sikit seperti yang saya lihat dalam majlis keraian ATM di Dataran Merdeka pada 1 Februari lalu mengingatkan saya kepada satu latihan teragung yang pernah dirakamkan Allah lewat al-Quran yang mulia.

Selain contoh Talut, kita didedahkan dengan sikap Salahudin al-Ayyubi yang memilih tentera yang bersolat malam untuk dibawa ke medan perang. Ini kerana, askar yang terlatih kerohanian lazimnya kuat jiwanya menahan bebanan mental dalam peperangan. Inilah antara contoh-contoh bentuk latihan ketenteraan.

Adakah buli termasuk dalam kategori latihan ketenteraan?
Akhir-akhir ini, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan klip video yang dipaparkan Buletin Utama berhubung aktiviti buli dalam tentera. Ramai yang mengutuk dan ada juga yang menyokong bulian tersebut. Namun, saya yakin jumlah yang mengutuk kekejaman dan penindasan itu lebih ramai daripada yang menyokong tindakan buli tersebut. Saya tergolong dalam kalangan mereka yang menolak dengan kerasnya, amalan buli sebagai salah satu bentuk latihan ketenteraan.

Saya telah kepilkan nas al-Quran yang menunjukkan antara contoh latihan ketenteraan seperti yang ditunjukkan dalam kisah Talut itu. Juga kes Salahudin al-Ayyubi juga. Jika pihak tentera ingin menyanggah, saya sarankan supaya Kor Agama Tentera (Kagat) dirujuk terlebih dahulu.

Jika perlu, kita boleh wujudkan debat, wacana dan lain-lain ruang untuk mendebatkan isu ini. Sudah wujud macam-macam forum di TV seperti Hujah di TV9, forum itu dan ini di TV1 dan sebagainya. Saya bukan nak menunjuk pandai. Saya orang awam. Bukan masyarakat tentera. Cuma, dengan jujurnya saya ingin menegakkan pendirian peribadi saya yang menolak amalan kekerasan dan penindasan sebagai salah satu daripada bentuk latihan ketenteraan.

Islam mengajar kita hukum Qisas; siapa menampar pipi, telinga dan lain-lain anggota, maka perlulah dibalas balik. Begitu juga dengan hukum bunuh balik. Jika tidak jelas penerangan ini, Kagat antara yang boleh dirujuk dalam hal ini.

Maka, jelas sekali, melalui klip video tersebut, ditunjukkan bagaimana askar atau tentera muda itu diperlakukan dengan tujuan mengaibkan dan menghinanya. Pipi beliau ditampar berulangkali ke kiri dan ke kanan. Tidak perlulah mengulas lebih lanjut. Kita boleh saksikan sendiri. Kalau mengikut hukum Islam, tentera yang telah menampar pipi mangsa itu, perlulah ditampar semula ke kiri dan ke kanan. Hitung semula berapa jumlah tamparan yang beliau terima.

Katakanlah 10 kali ditampar ke kiri dan ke kanan. Maka, perlulah dibalas kembali tamparan itu dengan kadar yang sama. Sekali lagi, untuk mengetahui keputusan lanjut, Kagat mungkin antara badan yang perlu dirujuk dalam hal ini.

Menteri Pertahanan kita kata apa?
Namun, hal ini tidaklah penting sangat. Yang paling penting, kenapakah Menteri Pertahanan kita Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian buli baru-baru ini? Maklumat terakhir yang saya terima adalah Abdullah pergi ke Bahrain. Di mana beliau sekarang, tidaklah diketahui. Kenapa Buletin Utama tidak mengambil kenyataan dan pendirian Menteri Pertahanan Abdullah Ahmad Badawi berhubung hal ini, tidaklah diketahui.

Adakah media aliran perdana sendiri tidak berasakan Abdullah sebagai Menteri Pertahanan? Atau pun, media seolah-olah terlupa bahawa Abdullah adalah Menteri Pertahanan? Banyak betul persoalan dalam negara kita hari ini yang tidak berjaya kita temukan jawapannya.

“Di sinilah aku selalu berhimpun masa Pak Lah bagi ucapan. Kan.. dia la ni dah jadi Menteri Pertahanan?” kata rakan lama saya. Dia seorang pegawai dalam tentera. di ibu kota. Beberapa hari sebelum pasukan tentera membuat pameran di Dataran Merdeka, saya masuk ke Kem Kementah dan sempat juga saya masuk ke dalam kawasan pengakalan tentera udara di Sungai Besi. Rakan saya itu menunjukkan kawasan perumahan tentera yang cantik dan indah-indah.

Rumah bermasalah dalam tentera?
Dalam banyak-banyak bualan itu, saya tertarik dengan rungutannya ke atas rumah-rumah yang bermasalah. Pun begitu, saya melihat kawasan perumahan tentera itu tersusun rapi dan cantik sekali. Saya teringatkan sabda nabi berhubung penyakit ‘wahan’. Para sahabat bertanya, apakah yang dimaksudkan sebagai ‘wahan’ itu.

“Cintakan dunia dan takut mati,” demikian jelas baginda Rasulullah s.a.w. Ada persoalan yang tak sanggup saya tanya kepada tentera. Takut mereka marahkan saya pula. Tapi, sengajalah saya bertanya. Soalan cepu emas itu ialah, adakah mereka termasuk dalam golongan itu? Saya orang awam yang tidak terlatih dengan alat-alat ketenteraan. Nak pegang senapang pun hati saya bergetar, jantung berdebar, semangat berkobar-kobar. Saya akui saya lemah dan kecut perut.

Tapi, tentera kita bagaimana pula? Kalau dah berani buli dan tindas bangsa seagama dan sebangsa sendiri, bolehkah mereka dihantar ke Palestin untuk membuli dan menindas tentera Israel yang ganas menindas rakyat Palestin kita? Jangan dibazirkan masa dan tenaga kita untuk membuli saudara kita sendiri. Bak kata Fansuri, alang-alang mahu membuli, lebih baik membuli Yahudi, (secara tepatnya Zionis Israel). Jangan marah ya? Kita tanya saja..

Sempat juga saya berehat-rehat di kuarters kediaman rakan lama saya itu di Jalan Semarak tempoh hari. Luas betul rumahnya dan sangat lapang. Itu pun, dia masih tidak berpuas hati dengan rumahnya. Saya yang masih terkial-kial mencari rumah baru, rasa beruntung besar jika dapat rumah agam seperti itu.

Ramadhan tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang ke Alur Setar dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM), saya terserempak dengan seorang bekas tentera. Kami berbual-bual sampai pagi dalam sebuah gerabak yang ada cafe di dalamnya. Tak ingat pula saya apakah nombor gerabak itu. Dia lari daripada pasukan tentera.

“Kita yang bawah-bawah, prebet ni asyik kena buli saja,” katanya. “Siapa yang kuat mengampu dan bodek, cepatlah naik pangkat.”

Saya masih setia mengikuti butiran kisah perjalanan hidupnya dalam tentera. Dia banyak memuji Najib yang masih menjadi Menteri Pertahanan ketika itu.

“Najib ni memang dia jaga betul askar-askar ni,” kata beliau. “Tapi, dalam kes Altantuya ni, kalau tak percaya tengoklah.. Razak Baginda akan terlepas juga.”

Memang kata-katanya betul juga. Ketika dia menyebutkan hal itu, proses perbicaraan mengenai Abdul Razak Baginda masih berlangsung. Bagaimanakah dia boleh ramalkan semua itu, semuanya menjadi tandatanya. Seperti yang disebut di atas. Dalam negara kita, memang banyak betul pertanyaan yang tidak dapat dijawab.

Cukuplah merapu panjang lebar. Lama-lama ‘bergurau’, nanti Menteri Pertahanan, Abdullah Ahmad Badawi marahkan saya pula. Niat menulis ini, setidak-tidaknya, ada dua perkara yang mahu saya majukan kepada para pembaca sekalian yang budiman.

Pertama, apakah pendirian Menteri Pertahanan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kes buli dalam tentera baru-baru ini?

Kedua, saya cuma ingin berkongsi pendirian bahawa, saya menolak amalan kekerasan, penindasan dan buli sebagai salah satu cara latihan dalam tentera, baik dalam unit komando, Unit Risikan atau apa jua unit sekali pun. Saya telah bekalkan nas al-Quran yang disokong lojik akal bersertakan dalil-dalil riwayat perjuangan tentera yang terdahulu.

Abdullah adalah pencetus dan pengasas Islam Hadhari. Prinsip ke-10 Islam Hadhari menyentuh soal persediaan alat ketenteraan. Kagat tentu maklum akan hal dalil ini. Tetapi, kalaulah hal buli ini pun belum selesai, bagaimana Abdullah sebagai Menteri Pertahanan mahu masuk ke dalam wacana ketenteraan yang lebih besar, iaitu membekalkan persediaan untuk ketenteraan kita.

Semoga Tuhan melepaskan saya dan membebaskan saya daripada segala pertanyaan ini di akhirat kelak, dengan sebab saya telah menyebarkan tulisan ini. Amin..

11:47 p.m, 3 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Bantahan, syor, ulasan dan lain-lainnya boleh dimajukan kepada ibnuamir@yahoo.com

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: